atifah afiqah

Seingat saya itu namanya, yang sering diulang sebelum kelahirannya.

Gabungan nama saya. Sudah tentu mewarisi paras yang sama.

Semuanya berlaku seperti babak imbas kembali dalam filem. Ibu yang tiba-tiba sakit dalam mobil, ayah yang panik, nenek yang menjaga saya, ayah panik lagi.

Dan satu pagi yang indah, tiba-tiba ramai orang di rumah. Saya terpisat-pisat mencari Mok, seperti biasa. Mok, membawa saya ke ruangan berhampiran dapur dan berkata, "Mari tengok adik tirah"

Itu, sumpah adalah antara perkara yang masih lekat di minda saya sampai ke hari ini, walaupun ketika itu saya hanya berusia 4 tahun.

Kemudian dia membuka selimut yang menutupi seluruh sekujur tubuh kecil

Wajah seorang bayi mungil, putih gebu yang enak tertidur di atas tilam kecil, mungkin tilam saya Masa kecil. Tangannya seperti mahu diletakkan di mulut, seperti mahu menghisap jari. Matanya terpejam rapat, alisnya, hidungnya, bibirnya yang sedikit biru memang saling tidak tumpah seperti saya. Di tangannya ada gelungan tangan untuk anak yang lahir dan di pusatnya ada tali pusat biru-hijau yang masih belum tertanggal. Montel, tidurlah dengan damai adik. Adik yang saya lama nantikan sudah lahir tapi dia tidak akan membesar untuk bermain anak patung bersama.

Mok menyuruh saya mencium adik buat kali pertama dan terakhir tapi entah apa yang saya takutkan ketika itu. Pagi itu sangat sejuk, dan bau kapur barus menerawang di hidung.

Terdengar orang lain simpati, "Lihatlah dia dengan arwah adiknya, kasihan"

Adik perempuan yang kami nantikan, Saya masih teringat bagaimana terujanya kami mahu menyambut adik, abangmu baru berusia setahun lebih dan kami asyik bergaduh. Haha.

Kemudian saya tidak pasti sama ada itu mimpi atau realiti, saya berlari dan dibawa membonceng basikal besi tua itu untuk melihat adik buat kali terakhir. Abah yang mengebumikanmu. Umi masih di hospital bertarung nyawa, bersama suntikan darah yang dicari Abah malam sebelumnya.

Beberapa kali pula selepas itu, saya bermimpikan adik. Adik akan kembali. Dan kesemuanya akan membuatkan saya tiba-tiba terbangun tengah malam bersama bantal basah dan sedu-sedan. Ada sekali saya bermimpikan adik sebenarnya ditawan orang, dan untuk mendapatkan adik saya perlu mendaki Gunung Everest dan menjelajah. Sayangnya misi gagal dan adik ditemukan lemas di dalam kolah.

Tidak sedikit juga doa setiap malam yang saya panjatkan untuk mendapatkan adik baru.

Atifah, anak syurga umi dan abah. Pasti adik sangat cantik di sana. Berbahagialah bersama arwah Mok dan Tok.

Kakak sentiasa mengingati wajah satu-satunya adik perempuan ini.

Comments

Popular posts from this blog

:)

puisi hujan

the unsung heroes